Cuba amalkan petua berikut apabila ibu mengalami
masalah bengkak susu.
1. Pakailah coli menyusu yang memberi sokongan,
termasuk pada waktu malam. Pastikan ia benar-benar padan dan tidak terlalu
ketat.
2. Susukan bayi anda dengan kerap, iaitu setiap dua
atau tiga jam, walaupun terpaksa mengejutkan bayi anda daripada tidur. Pastikan
bayi menyusu daripada kedua-dua belah payu dara pada setiap penyusuan. Cuma
pastikan sebelah yang pertama tadi telah dihisap sepenuhnya sebelum memberikan
yang sebelah lagi. Pada sesi penyusuan yang berikutnya, mulakan dengan sebelah
payu dara yang terakhir dihisap.
3. Mungkin sukar untuk bayi melekap pada payu dara
ibu apabila areola, iaitu kawasan kulit gelap di sekeliling puting, sangat
keras. Untuk memastikan bayi melekap dengan betul, perah dengan tangan atau pam
susu keluar sehingga areola menjadi lembut.
Satu cara untuk memudahkan pengeluaran susu ialah
dengan meletakkan tuala panas di dada, ataupun mandi dengan air suam sebelum
memerah. Air suam mandian itu sendiri mungkin boleh menyebabkan susu keluar
dengan sendirinya dan dapat melembutkan areola. Ini mungkin akan memakan masa.
Sabarlah, dan teruskan mencuba!
4. Semasa bayi sedang menyusu, urut payu dara yang
sedang dihisapnya perlahan-lahan. Ini dapat membantu pengaliran susu dengan
lebih lancar dan turut melegakan sedikit ketegangan dan ketidakselesaan pada
payu dara.
5. Jika payu dara terlalu penuh dengan susu,
menggunakan pam sekali-sekala untuk mengeluarkan susu berlebihan adalah elok dan
tidak akan memburukkan keadaan. Penghasilan susu yang berlebihan hanya akan
berlaku jika si ibu mengepam lebih daripada keperluan bayinya sedangkan bayi
itu sudah menyusu dengan baik.
6. Menyikat payu dara yang bengkak (sikat menghala
ke puting).
7. Sesetengah wanita mendapati, meletakkan daun
kubis segar pada payu dara boleh membantu melegakan kesakitan, walaupun tiada
bukti untuk menyokongnya. Daun kubis itu mungkin ada kesan penyejukkan tetapi
ia tidak dapat mengubati penyebab sebenar payu dara bengkak iaitu susu tidak
dikeluarkan daripada payu dara dengan efisien (buat sesekali sahaja kerana jika
diamalkan selalu boleh menyebabkan susu kering).
8. Ambil cuka makan dan campurkan dengan air di
dalam piring. Ambil kapas, celup dan sapu pada sekeliling payu dara. Jangan
sampai terkena bahagian puting. Lakukan setiap hari sehingga tiada lagi masalah
bengkak.
9. Ambil beberapa helai daun sirih dan disapu
minyak zaitun di permukaan hadapan. Layur daun sirih tersebut di atas tudung
periuk. Tekap pada payu dara bila daun agak-agak suam. Selain daripada
melancarkan pengeluaran susu, ia juga mengurangkan rasa sakit bengkak.
10. Urut payu dara sedikit sebelum mengepam. Buat
urutan membulat seperti pemeriksaan payu dara pada kawasan yang ada rasa
berketul-ketul.
Jika anda tidak dapat menahan sakit, anda boleh
ambil ubat tahan sakit seperti paracetamol dengan nasihat daripada doktor.
No comments:
Post a Comment